‘Bibi tadbir KAFA seperti hakmilik peribadi, Exco langsung tidak dihormati’


Dua bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali dan Datuk Nik Izani Nik Ibrahim tidak rela nama mereka terus menjadi sasaran untuk diburukkan oleh Presiden persatuan itu, Bibi Ramjani Ilias Khan.

Tindakan kedua-dua individu itu meletakkan jawatan sebelum ini mengundang rasa kecewa Bibi Ramjani yang seterusnya menyifatkan mereka sebagai lari daripada tanggungjawab memandangkan persatuan sedang berdepan kemelut kritikal.

Namun menerusi satu kenyataan bersama, masing-masing tampil menjelaskan sebab sebenar mereka mengambil keputusan berundur adalah kerana sudah tawar hati dan tidak boleh lagi bekerjasama dengan Bibi Ramjani yang mentadbir KAFA sebagai hak milik peribadi.

“Bagaimana beliau boleh menuduh kami lari dari tanggungjawab sedangkan kami tidak diberi tanggungjawab dan tugas secara jelas untuk memainkan peranan membantu pengurusan ke arah pembentukan pasukan yang mantap.

“Sejak diberi amanah untuk menduduki jawatan Naib Presiden oleh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) ketika Kongres Tahunan KAFA pada 17 September 2017, kami hanya dipanggil untuk mesyuarat Exco sebanyak tiga kali sahaja.

“(Selepas itu) semuanya dibuat secara solo tanpa membuat keputusan secara konsesus. Paling menyedihkan, Exco dilihat sebagai musuh dalam selimut dengan menganggap Exco tidak boleh membantu KAFA.

“Sikap Presiden yang tidak mempedulikan kewujudan kami dan exco-exco bermula dari awal musim lagi ketika membuat perancangan terutama melibatkan soal kewangan tanpa pengetahuan kami,” menurut kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, mereka menyatakan soal dana kewangan dan tajaan tidak dibawa ke Mesyuarat Exco termasuklah beberapa tajaan serta geran tahunan FAM yang diperoleh dan jumlah dana yang sepatutnya atau perlu dibelanjakan pada musim ini.

“Ini sekali gus menyebabkan ada di kalangan exco yang mendahulukan duit dari poket sendiri untuk kebajikan pemain demi memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Semua laporan yang tidak lengkap ini hanya dibentangkan pada mesyuarat terakhir ketika pengurusan dan pasukan berada di tahap yang meruncing. Sebagai contoh, kami dimaklumkan perbelanjaan pasukan sebanyak RM4 juta tetapi perincian kewangan tidak dibentangkan secara lengkap dan telus kepada exco.”

Mereka turut mendedahkan bahawa kemuncak krisis pengurusan adalah apabila Bibi Ramjani membuat keputusan sendiri untuk melantik Fajer Ibrahim sebagai Ketua Jurulatih tanpa pengetahuan exco dan memberi kepercayaan penuh kepada Fajer dalam membuat semua keputusan kecuali kewangan.

“Ini sehinggakan Fajer berani masuk campur urusan pentadbiran pengurusan. Ketika itu juga kes pemain berpengalaman seperti Badhri (Radzi), Do Dong Hyun, Morgaro Gomis, Norfarhan (Mohd), serta Amiridzwan Taj yang digantung tidak bertali menjadi perbualan dan isu hangat dalam kalangan exco kerana keputusan dibuat tanpa pengetahuan exco juga.”

Mohd Aizuddin dan Nik Izani turut menyatakan bahawa mereka telah bersetuju untuk membantu Presiden mencari dana kewangan bagi persiapan pasukan musim depan ketika mesyuarat terakhir.

“Namun, hari demi hari Presiden menjadikan KAFA seperti hak milik beliau sendiri sehingga membuatkan kami tawar hati untuk berada di kerusi Naib Presiden dan kami memilih berundur kerana tidak mahu mengkhianati amanah PBJ dan penyokong,” jelas mereka.

Foxsports difahamkan akan ada lagi Exco di dalam KAFA yang bakal membuat keputusan sama bagi mendesak Kongres Luar Biasa diadakan untuk memilih pucuk pimpinan baru.

Sumber : Foxsports
‘Bibi tadbir KAFA seperti hakmilik peribadi, Exco langsung tidak dihormati’ ‘Bibi tadbir KAFA seperti hakmilik peribadi, Exco langsung tidak dihormati’ Reviewed by Abdul Wafi on August 01, 2018 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.