Popov minat kembali ke Kelantan?

.

VELIZAR Popov menunjukkan minat yang tinggi untuk kembali bimbing The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Bekas jurulatih Kelantan musim lalu itu berkata, dia sedia membuka pintu rundingan sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) benar-benar serius mahu mendapatkan khidmatnya.

“Saya tidak ada niat tinggalkan Kelantan pada hujung musim lalu tetapi anda tentu ingat situasi (masalah kewangan persatuan) ketika itu tidak begitu baik, memaksa saya buat keputusan meninggalkan pasukan.

“Tetapi apabila sekarang Kafa di bawah pengurusan baru, saya harap segala-galanya baik dan jika mereka berminat untuk berunding dengan saya, kita mula boleh bercakap mengenai perancangan musim 2018,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan Maldives itu, meninggalkan aura tersendiri apabila dia yang menggantikan K Devan pada pertengahan musim lalu, berjaya memastikan Kelantan menamatkan kempen Liga Super di tangga keempat, selain mara ke suku akhir Piala Malaysia.

Spekulasi mengenai kemungkinan jurulatih berusia 41 tahun itu, kembali ke pangkuan Kelantan turut hangat diperkatakan dalam kalangan penyokong skuad pantai timur itu di laman sosial, sejak beberapa hari lalu. 

Pada masa sama, jurulatih yang terkenal dengan imej garang dan bengis itu memberitahu, dia tidak kisah mengemudi Kelantan meskipun pasukan itu mungkin beraksi dalam kancah Liga Perdana, musim depan.

“Tiada masalah, saya sedia latih pasukan ini asalkan Kafa bersetuju dengan syarat yang saya kemukakan nanti. Jika mereka setuju dan saya diberi kuasa penuh mendapatkan pemain import seperti tengah musim lalu, saya bersedia. 

“Anda tahu, saya sukakan pasukan ini terutama pemain dan penyokong mereka. Saya selalu kata, suatu hari nanti akan kembali jika pasukan ini perlukan saya. Syaratnya sama seperti setahun lalu, tidak berubah, jadi kita lihat apa yang akan berlaku nanti,” katanya sambil mengesahkan ejennya juga berunding dengan beberapa kelab tertentu di Eropah.

Sementara itu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut, sebaliknya menegaskan fokus beliau kini adalah memenuhi syarat perlesenan seperti ditetapkan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sumber : SinarHarian
Popov minat kembali ke Kelantan? Popov minat kembali ke Kelantan? Reviewed by Abdul Wafi on October 05, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.