Piala Presiden 2017 : Terengganu Ke Final

.

PASUKAN bawah 21 tahun Terengganu berjaya mengesahkan slot ke pentas final Piala Presiden musim ini apabila mengetepikan cabaran juara bertahan Kelantan dengan kelebihan jaringan di tempat lawan dengan agregat 3-3 setelah kedudukan terikat 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.

Pada pertemuan separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Ahad lalu, Kelantan berjaya membawa pulang defesit gol di tempat lawan setelah berjaya mengikat kedudukan seri 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Ketua jurulatihnya, Mustafa Kamal Abdul Wahab menyifatkan semangat juang tinggi dan tidak putus asa menjadi kunci kejayaan buat mereka dalam  melakarkan kemenangan seterusnya menamatkan penantian melangkah ke pentas final.

Menurutnya, saingan yang dberikan kem tuan rumah sememangnya amat sengit sehingga menyukarkan jentera serangan kami untuk meraih jaringan biarpun memiliki beberapa peluang terhidang di depan gawang gol Kelantan.

"Sememangnya kita sudah menjangkakan perlawanan ini bukan laluan mudah buat kami dan Alhamdulillah pemain berjaya menyerap tekanan dengan semangat berpasukan yang tinggi.

"Malah pemain juga melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang sebagaimana perancangan pasukan khususnya di babak kedua perlawanan, selain komitmen tinggi daripada mereka sehingga tamat perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, kem tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke- 67 menerusi Nik Azli Nik Alias yang bijak menolak masuk percubaan Mohd Imran Samso.

Begitupun jaringan itu tidak kekal lama apabila Mohd Haidhir Suhaini berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan kemas pada minit ke-72 untuk kedudukan 1-1.

Kehadiran semula Mohd Haidir dalam memperkuatkan pasukan Terengganu terus menjadi tonik terbaik buat kem pelawat apabila jentera tengah itu menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi sudut sukar, pada minit ke-74  sekaligus membawa skuad Penyu di depan.

Tertekan dengan jaringan itu, Kelantan bangkit merapatkan jurang kedudukan, bagaimanapun jaringan penyamaan menerusi rembatan bebas Mohd Danial Ashraf pada minit ke-87  masih gagal membawa tua rumah ke pentas final apabila Terengganu memiliki kelebihan gol di gelanggang lawan setelah perlawanan berkesudahan seri 2-2.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal mengakui kejayaan itu bukan sahaja menjadi kejutan buat pasukan setelah hampir lapan tahun menunggu untuk mara ke pentas final  bahkan buat dirinya yang pernah membantu Terengganu muncul juara saingan Piala Presiden pada tahun 1996 ketika bersama-sama Rosdi Talib dan Zulharisham Awang.

Katanya, kejayaan itu merupakan kecemerlangan generasi baharu pasukan Terengganu yang bakal menjadi tulang belakang skuad utama skuad Penyu pada masa akan datang.

Untuk aksi final pertama, Terengganu akan berkunjung ke Shah Alam untuk bertemu naib juara kumpulan B, Selangor pada Khamis ini sebelum melayan kunjungan kem Gergasi Merah Kuning di Kuala Terengganu pada 19 Oktober depan.

Sumber :SinarHarian
Piala Presiden 2017 : Terengganu Ke Final Piala Presiden 2017 : Terengganu Ke Final Reviewed by Abdul Wafi on October 08, 2017 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.